Alhamdulillah, marilah sama-sama kita memanjatkan rasa syukur kepada Allah kerana dengan izin-Nya kita masih lagi diberi kekuatan dan kesungguhan untuk memikul amanah sebagai pendidik. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Buku Panduan Pengurusan Sekolah 2021 kerana telah berjaya menyempurnakan manual ini. Sesungguhnya, buku panduan pengurusan sekolah ini sangat penting sebagai rujukan dan garis panduan kepada guru-guru dan Anggota Kakitangan Pelaksana (AKP) dalam rangka melaksanakan tugas dengan lebih efisien dan berfokus.
Bidang pendidikan negara sememangnya bersifat dinamik bagi memenuhi keperluan semasa khususnya diperingkat global. Oleh hal yang demikian, warga pendidik dan AKP merupakan arkitek sosial yang memikul tanggungjawab yang besar dalam memberikan pendidikan, menyampaikan ilmu, membentuk peribadi dan sahsiah sekali gus menjana potensi murid ke arah yang lebih optimum. Sehubungan dengan itu, diharapkan buku pengurusan ini dapat membantu guru-guru dan AKP membuat perancangan dan menyediakan program-program khusus dalam semua aspek sepanjang tahun 2021 bagi merealisasikan cita-cita tersebut.. Kita sebagai warga pendidik perlu sentiasa memperlengkap diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran bagi mendepani cabaran masa hadapan. Dalam hal ini, warga pendidik seharusnya bekerja sebagai satu pasukan bermula di peringkat panitia masing-masing sehinggalah ke peringkat yang lebih tinggi. Ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh individu seharusnya dikongsi dan dimanfaatkan semaksimum mungkin untuk meningkatkan mutu pendidikan negara. Secara tidak langsung, hal ini dapat membentuk warga SMK Gemas yang berketerampilan,profesional, berkualiti dan beretika. Saya yakin dan percaya bahawa Sekolah Menengah Kebangsaan Gemas, sebagai salah sebuah Sekolah Harian, mampu menyediakan landskap pembelajaran yang terancang, terkawal dan sempurna dalam usaha membentuk modal insan yang berkualiti. Selain itu, saya juga melihat bahawa Sekolah Menengah Kebangsaan Gemas dapat menjadi wadah terbaik untuk melahirkan insan yang mempunyai kecemerlangan ilmu dan keunggulan sahsiah yang akhirnya menjadi Khalifah yang dapat menyempurnakan tuntutan agama, bangsa dan negara. Selamat menjalankan tugas sepanjang tahun 2021.
"Don't judge each day by the harvest you reap but by the seeds that you plant." -Robert Louis Stevenson
“Unlock your potential”